Monday, February 6, 2012

Kembara Pekan Terpencil : Pekan Temoh ( Part 2 )


Setelah menghabiskan masa hampir 30 minit di pekan Temoh, saya bergerak pula ke sebuah pekan lama yang cuma menunggu masa untuk mati. Pekan Temoh Stesen merupakan pekan kecil yang terletak tidak jauh dari pekan Temoh. Kewujudan pekan ini mungkin dikaitkan dengan kewujudan stesen keretapi Temoh pada suatu ketika dahulu.Namun kini stesen keretapi itu sudah ditutup. Hanya tinggal landasan sahaja yang masih tersisa. 


Jalan masuk ke Pekan Temoh Stesen
Deretan rumah kedai yang terbakar.. tinggal sepi
Antara kedai kedai yang masih menjalankan operasi
Pemandangan Pekan Temoh 

Temoh Stesen, pekan yang semakin menuju hari akhirnya. Saya pasti suatu ketika dahulu pekan ini meriah dengan pelbagai aktiviti penduduknya. Ditambah pula dengan kegiatan melombong bijeh timah dan tanaman getah yang giat diusahakan menjadikan pekan ini hidup. Kewujudan sebuah stesen keretapi membuktikan kenyataan ini. Namun sejak akhir tahun 90an banyak stesen-setesen keretapi di daerah Batang Padang telah ditutup. Mungkin atas alasan kekurangan penumpang. Antara stesen-stesen yang ditutup ialah stesen Trolak, Ladang Bikam, Bidor, Banir dan Temoh Stesen. Ini seterusnya menjadikan pekan ini terus mati dan seakan-akan misteri.

Tidak ada kemudahan pejabat-pejabat kerjaan di pekan ini. Kemudahan pejabat pos hanya boleh didapati di pekan Temoh. Barisan rumah kedai di pekan ini agak suram. Ada sebahagiaanya sudah musnah akibat kebakaran. Tidak banyak kedai yang beroperasi. Cuma beberapa kedai sahaja yang terus memberikan perkhidmatan urusan jual beli kepada penduduk tempatan. 


Masjid Jamek As-Solehin Temoh Stesen.
Saya pernah bersolat Jumaat di sini kira-kira 7 tahun yang lalu ketika saya berumur 8 tahun

Sebenarnya kunjungan saya ke Temoh Stesen adalah untuk melihat tinggalan-tinggalan stesen keretapinya. Namun saya pulang hampa kerana stesen berkenaan sudah tiada. Projek landasan berkembar bagi perjalanan Komuter dari Kuala Lumpur ke Ipoh telah membunuh banyak tinggalan - tinggalan sejaran stesen berkenaan. Namun saya sedar ... ia adalah harga yang paling mahal perlu kita bayar untuk sesuatu yang bernama kemodenan. Jiwa klasik saya seakan-akan bermusuhan dengan realiti kemodenan ... namun ia adalah hakikat bahawa yang lama itu sudah pasti berganti baru. 

Saya bergerak meninggalkan Temoh Stesen ketika matahari sudah merangkak petang. Saya akan menuju ke Tapah Road... sebuah lagi pekan lama namun penuh bersejarah. Ketika melewati meninggalkan pekan Temoh Stesen, saya dapat merasakan sebuah kehilangan .... kehilangan sebuah lagi pekan tua yang beraroma tua akibat arus kemodenan.


PEKAN TEMOH : Sebuah Pekan Mati Yang Telah Membongkar 1001 Khazanah Kehidupan Yang Tidak Boleh Dibeli Dengan Ringgit Malaysia



Kembara Pekan Terpencil : Pekan Temoh ( Part 1 )

Daerah Batang Padang dalam negeri Perak Darul Ridzuan sebenarnya masih menyimpan pelbagai tinggalan pekan-pekan kecil yang mungkin wujud sejak zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Pekan - pekan ini walaupun kelihatan tua dan usang tetapi sebenarnya menyimpan banyak kisahnya yang tersendiri. Bangunan-bangunan lama yang masih teguh berdiri di pekan-pekan ini seolah-oleh memanggil-manggil diri saya untuk meneroka khazanah lama yang entah bila akan musnah di makan oleh binatang yang bernama kemodenan.


Panorama Pekan Temoh

Bangunan kedai yang berusia lebih daripada 100 tahun hanya terdapat di Pekan Temoh
Temoh
Sebahagian daripada Panorama Pekan Temoh
Saya meneroka ke kawasan utara daerah Batang Padang bagi melawat pekan -pekan lama yang masih tersisa. Pekan yang saya lawati kali ini ialah pekan Temoh. Bagi pengguna jalan persekutuan dari Tapah menghala ke Kampar sudah pasti akan melalui  pekan Temoh yang sunyi dan kusam. Dengan bangunan kedai tua di kiri dan kanan jalan sudah pasti ia bukan pilihan bagi pemandu-pemandu untuk berhenti rehat kecuali jika ingin mengisi petrol.

Temoh mungkin wujud dari ledakan kegiatan perlombongan bijeh timah di Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. Majoriti penduduknya adalah orang Melayu dari suku Rawa, Mendailing, Jawa, Perak dan lain - lain lagi. Saya sampai di pekan ini ketika waktu sudah hampir menunjukkan jam 3 petang. Suasananya tidak banyak yang berubah dan tetap sama seperti dahulu. Walaupun terletak di jalan persekutuan namun peranan  dan kepentingan pekan Temoh dibatasi oleh pekan Tapah dan bandar Kampar. Ini menyebabkan rumah-rumah kedai di sini lebih banyak yang kosong dan sepi.


Kedai Gunting Rambut Temoh. Klasik yang tidak terbeli dengan Ringgit Malaysia!
Sebuah bangunan kedai tua yang uzur dan sepi
Pejabat Pos Pekan Temoh
Apa yang menarik perhatian saya di pekan ini ialah kewujudan beberapa buah bangunan yang pada saya agak unik dan klasik. Salah satunya ialah sebuah Dewan Orang Ramai yang turut menjadi pejabat Majlis Daerah Tapah cawangan Temoh. Bentuk binaanya agak klasik. Namun keadaannya agak uzur. Saya yakin bangunan dewan ini banyak berjasa kepada penduduk Temoh. Saya kurang pasti sama ada dewan ini masih digunakan atau tidak. Namun jika dilihat suasana kiri dan kanan dewan ini yang kusam .... sukar bagi saya menjangkakan hayatnya untuk beberapa tahun akan datang.

Dewan Orang Ramai Pekan Temoh. Usang dimamah usia



Dahulu ayah saya selalu juga ke pekan Temoh untuk bergunting rambut. Kata ayah, di Temoh cara guntingannya amat memuaskan hatinya kerana ia masih lagi dilakukan secara lama seperti di masa-masa mudanya. Menurut ayah lagi, dia amat suka menikmati waktu bergunting rambut dalam masa yang agak lama berbanding tukang gunting rambut moden yang dilihat mengunting rambut pelangganya dengan pantas. Saya tercari - cari kedai gunting rambut yang ayah maksudkan. Risau hati saya jika kedai gunting rambut tua itu sudah habis ditelan zaman. Syukur .... dari seberang jalan saya dapat melihat sebuah kedai gunting rambut lama di dalam sebuah kedai yang usang. Dapat dilihat dua orang pelanggan menunggu giliran untuk bergunting rambut. Ia membuatkan saya berfikir sejenak ..... berapa lama lagi kedai runting rambut ini mampu bertahan mendepani cabaran kemodenan.... sukar saya memberi jawapan.


Sebuah lagi bangunan yang menarik lensa kamera saya ialah sebuah rumah kedai yang agak terpisah jauh dari bangunan kedai utama pekan Temoh. Ianya terletak di pinggir jalan menghala ke pekan Temoh Stesen. Bangunan ini menempatkan dua buah rumah kedai. Salah satunya ialah kedai pemborong getah dan bijih timah. Memandangkan kini Bijih Timah sudah tidak dilombong secara aktif di negeri Perak, saya pasti kedai ini sudah tidak beroperasi lagi. Namun dari tingkapnya yang terbuka, dapat dilihat gambar-gambar lama ( hitam putih ) tergantung di dindingnya .... ia sebuah bangunan yang seolah - olah ingin bercerita sejarah lamanya kepada saya.. ia sunyi dan sepi.
Sebuah pejabat pos lama juga terdapat di pekan ini. Ia sebuah bangunan kayu yang cantik. Saya memang suka meninjau keadaan pejabat pos apabila sampai ke sesuatu kawasan. Pejabat pos Temoh agak unik. Mungkin inilah satu-satunya nadi perkhidmatan bagi penduduk Temoh melunaskan bayaran bil-bil elektrik dan air.

Hampir setengah jam saya mundar mandir di pekan Temoh. Suasana petang yang redup membuatkan saya merasa sayu. Banyak perkara yang bermain di fikiran saya tentang pekan Temoh. Bila memikirkan tentang keadaan rumah kedai lama yang kosong dan kemungkinan dirobohkan bagi perluasan jalan persekutuan, saya bimbang pekan Temoh akan menjadi sebuah tempat yang bernama namun pekannya tiada. Temoh bukan pekan yang besar dan secara beransur-ansur saya melihat Kampar dan Tapah sudah mula berjaya membunuh kepentingan pekan ini dari penduduk-penduduknya sendiri.

Saya bergerak meninggalkan pekan Temoh menuju ke satu lagi pekan tua yang sedang menanti saat matinya iaitu pekan Temoh Stesen. Ia akan saya catatkan dalam koleksi akan datang ....  Di Temoh .. saya menjumpai sesuatu yang bernilai .... cerita ayah tentang bergunting rambut dan balada sebuah rumah kedai yang sepi. Ianya tersimpan rapi dalam lubuk hati dan pemikiran saya. Bila bersendirian begini .... melihat gambar pekan-pekan tua ini ... saya mudah menjadi sayu mengenang satu zaman yang tidak pernah saya lalui !!!!!